Friday 20 December 2013

Cara menghidupkan perpaduan kaum

             Sedasarwarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap penjuru dunia mengenai slogan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam yang menjadi titik teras wujudnya perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini dilakukan kerana rakyat Malaysia yang heterogen haruslah menyedari kepentingan perpaduan kaum agar kemakmuran negara dapat dikekalkan. Oleh itu, rakyat haruslah peka dan mengamalkan perpaduan kaum ini agar keamanan dapat dicapai dan seterusnya menjadi contoh kepada negara-negara heterogen yang lain.

             Sebagai pembuka bicara, langkah prima untuk membentuk perpaduan kaum ialah dengan mengadakan rumah. Rumah terbuka memainkan peranan yang sangat signifikan kerana rakyat Malaysia yang heterogen ini dapat berkumpul dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Amalan ini dapat mengeratkan silaturahim yang seterusnya dapat memperkukuhkan perpaduan kaum. Kesepaduan semangat yang ditunjukkan ini bakal membentuk nilai kasih sayang dan membina hubungan akrab antara rakyat pelbagai kaum.

             Selain itu, hidup dalam masyarakat yang heterogen ini ibarat aur dengan tebing. Hal ini demikian kerana setiap masyarakat haruslah saling membantu tanpa mengira kaum. Oleh itu, sebagai prakarsa untuk mewujudkan perpaduan kaum adalah dengan mengadakan amalan bergotong-royong. Amalan ini dapat menyatupadukan masyarakat dalam pelbagai lapisan untuk menyumbangkan tenaga mereka demi kebaikan bersama. Namun, rencah utama amalan sebegini adalah untuk mengeratkan hubungan sesama kaum.

             Pada ghalibnya, setiap ibu bapa haruslah menjadi entiti mithali kepada anak-anak mereka. Dalam konteks ini, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan dalam menyemai semangat perpaduan ini. Sebagai contoh, ibu bapa seharusnya memperkukuh hubungan baik dengan jiran tetangga dengan menghadiri perayaan-perayaan kaum-kaum yang lain. Ibu bapa juga seharusnya memastikan anak-anak mereka dapat mempelajari serba sedikit mengenai perpaduan kaum di Malaysia agar keharmonian negara dapat terus dicapai dari generasi ke generasi yang akan datang.

              Seterusnya, pihak sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan aspek-aspek perpaduan dalam kalangan pelajar. Sebagai contoh, aktiviti kokurikulum, sukan tahunan, program Maju diri dan sebagainya. Hal ini amatlah penting kerana ia dapat melahirkan nilai-nilai perpaduan dan mewujudkan adiwangsa yang cakna antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama. Tambahan  pula, pihak sekolah haruslah mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan agar pelajar dapat mensyukuri dan mewarisi keamanan dari nenek moyang mereka terdahulu yang berusaha menyatukan hubungan sesama mereka tanpa mengenal kaum.

            Sesungguhnya di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung merupakan ungkapan signifikan untuk menyemai semangat cinta akan negara. Sebagai rakyat Malaysia, kita seyogianya berasa bangga kerana dilahirkan dalam sebuah negara heterogen yang aman tanpa ada rusuhan kaum. Generasi marcapada haruslah bersusaha menerapkan nilai-nilai perpaduan diri mereka agar keharmonian nusa dapat dikekalkan kerana mereka adalah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.




No comments:

Post a Comment